Showing posts with label Karnataka. Show all posts
Showing posts with label Karnataka. Show all posts
Assalamualaikum
Sambungan dari entry Toy Train
 
Kalau nak booking tiket ke Ooty, jangan cari stesyen Ooty, sampai kesudah tak jumpa. Nama stesyen adalah Udagamandalam

Masih lagi hari yang sama. Khamis, 30 April 2015. Misi mencari tiket bas ke Mysore. Kebetulan pula hari itu adalah hari mogok seIndia kerana ketidakpuasan hati mereka pasal cukai, jadi salah satu daripada mogoknya adalah semua bas ekspres tidak beroperasi, yang tinggal hanya bas sangkut-sangkut yang maha penuh, itupun ada beberapa trip sahaja untuk hari itu. Dalam banyak-banyak 365 hari setahun, hari kami sampai ke sini jugalah yang terpilih untuk hari mogok kan! Kami memang sudah pasrah untuk naik saja bas sendat penuh bau itu nanti. Ntah kan dapat duduk ke tidak nanti untuk perjalanan 6-7jam. Bas seterusnya jam 3.30 petang, sementara menunggu kami simpan beg di stesyen bas (di India, carilah bilik Cloak Room untuk menyimpan bagasi) rs10 setiap beg, kemudian kami ke masjid untuk solat jamak zohor/asar sambil mengendurkan otot kaki dan badan & makan bekalan nasi yang sempat di masak semalam. Kemudian pekena chai secawan dua di warung tepi jalan sambil melepak barang 15-20 minit. Dalam perjalanan kembali ke stesyen bas ntah macam mana kami ternampak kaunter ’tourist information’ yang sebenarnya kaunter ejen pelancongan. Kami mencuba nasib bertanya bas ke Mysore. Ada! Jam 5 petang rs250, 5 jam perjalanan. Terus beli tiket. Sementelaah menunggu kami berjalan-jalan sekitar pekan Ooty, walaupun udara sedikit nyaman tapi matahari tetap berdenting. Anggur tanpa biji sekilogram cuma rs160 (RM9.60), nikmat dunia!
 Makcik gerai buah malu-malu
 Nampak dak masjid nun?
 Sekitar pekan Ooty
Di mana sahaja mesti ada orang main kriket. Ini di hadapan masjid di selah-selah bangunan (bukan masjid dalam gambar di atas, masjid yang lain)

Jam 4.45 petang kami sudah tercongok di pejabat ejen berkenaan. Bas sedikit lewat mungkin kerana isu mogok hari ini. Jam 5.30 petang bas sampai. Selamatlah kami menaiki bas menuju Mysore. Melihatkan kami yang agak berbeza penumpang sebelah mula menemuduga aku. Banyak juga soalan-soalan yang di tanya. Antaranya Malaysia ada berapa negeri, macam mana sistem politik di Malaysia, ibu negara apa, gambar dalam wang kertas itu siapa dan macam-macam lagi. Ligat aku memikirkan jawapan. Nasib lah kalau salah, haha. Siap minta tengok duit RM. Kami beri not seringgit dan syiling 50 sen, 20 sen, 10 sen dan 5 sen. Di tanya lagi seringgit berapa rupee? Lepas tu dalam seringgit ada berapa sen. Haa berapa kawan-kawan? 100 sen ye. Perjalanan kali ini menuruni gunung, jalan pun bengkang bengkok dengan skill pemanduan pemandu yang super hebat memotong di selekoh-selekoh tajam. Ada yang sudah mula pusing kepala. Di satu selekoh, bas berhenti lama. Rupanya pemandu pergi bersembahyang di kuil, selesai sembahyang dia membakar colok pula dalam bas. Tak sampai 10 minit, budak perempuan di hadapan tempat duduk kami mula muntah. Aku hulurkan minyak angin kepada bapanya. Siapa sangka satu bas minta minyak angin aku. Sara yang memang senang mabuk sudah mula pening kepala. Aku hulur pula plastik, siapa sangka juga beberapa orang di belakang juga minta plastik, untuk muntah. 3 jam perjalanan menuruni gunung dirasakan amat seksa, dengan keadaan jalan yang sangat teruk, memang ramai yang mabuk. Nasib baik aku masih kebal. Kasihan Murni yang baru nak baik dari slipped disk. Alhamdulillah tidak apa yang tidak dikehendaki berlaku sepanjang perjalanan kami di India.
 
Pakcik sebelah Sara mengatakan selepas turun gunung bas akan melalui hutan simpan kekal sejauh 40km dan jika bernasib baik kami akan nampak binatang liar. Hurmm, gelaplah boleh nampak ke pakcik?? Tapi kami layan je pakcik tu. Tiba-tiba dalam gelap itu pakcik tadi menjerit elephants! Dan dengan tak semena-mena gajah tu berbunyi! Terus rasa macam berada dalam safari di Africa. Kemudian nampak lagi beberapa kawanan gajah di seberang sebelah sini pula. Terus mata aku melilau sepanjang jalan, ada juga nampak badak sumbu tepi jalan. Memang pengalaman yang tidak akan kami lupa. Baru saja petang tadi sementara menunggu bas kami sembang kosong berangan-angan mahu ke Africa untuk merasa pengalaman bersafari, terus dapat! Jam 10.30 malam kami diturunkan di stesyen bas Mysore. Kami cuba juga meninjau kaunter tiket malangnya tutup. Melihatkan kaunter tiket hanya dibuka esok pagi, kami menahan auto, minta di hantar ke mana-mana hotel berdekatan, rs100. Masa untuk meregangkan badan dan mendapatkan good sleep. Sememangnya hari yang sangat panjang, penuh debaran, penuh excitement dan sangat memenatkan.
 
Aku sambung lagi cerita India ni ye. Rasanya macam nak cerita pasal bunga teratai la pula lepas ni :)
 
Jya!
Assalamualaikum..
Baiklah, mari teruskan momentum cerita India. Sambungan dari Mettupalayam.
 
Khamis, 30 April 2015. Misi hari ini adalah mendapatkan tiket keretapi ke Ooty. Keretapi ini merupakan Toy Train yang masih menggunakan enjin stim. Laluan ini juga dikenali sebagai Nilgiri Mountain Train di iktiraf sebagai UNESCO World Site Herritage pada tahun 2005, sebagai sebahagian daripada Darjeeling Toy Train walaupun Darjeeling nun jauh di bahagian atas India. Di sebabkan itu, laluan ini adalah sangat popular di kalangan pelancong dalam dan luar negara dan lebih kurang 85% tiket adalah secara penjualan online. Tambah lagi hanya ada 3 gerabak sahaja dari Mettupalayam ke Coonoor, maka tiket memang macam goreng pisang panas. Kami masih ada talian hayat walaupun kedengarannya amat tipis, iaitu mendapatkan baki 15% tiket yang akan dijual di kaunter stesyen pada hari berkenaan. Berapa keping yang dijual di kaunter?? 20 keping. Iye, 20 keping sahaja. Memang kecut perut memikirkannya sebab kalau tak dapat maka kami terpaksa membawa hati lara berpatah semula ke Coimbatore dan menaiki bas ke Bangalore. Tambah pula esok hari cuti umum (1 Mei, they call it May day), lagi lah ramai manusia!
 
 Seawal jam 4 pagi kami sudah berjalan ke stesyen keretapi konon-kononnya supaya dapat beratur sebagai manusia pertama, sekali tengok dah berderet manusia beratur. Kalau di kira dengan jari, kami memang tidak termasuk dalam 20 terawal. Rasa macam punah musnah hancur hati ku tercarik-carik. Namun kami masih belum putus asa, bertabah juga menunggu kaunter buka jam 6.00 pagi. Sekurang-kurangnya kami mencuba (pujuk hati). Memang berdebar lah wehhh! Aku yakin kami dapat tiket tersebut kerana kebanyakan yang beratur adalah keluarga dengan jumlah yang agak besar. Keluarga di hadapan kami lebih kurang 5-6 orang, sekiranya 4 daripada mereka termasuk dalam 20 yang pertama, agak-agaknya lagi 2 orang sanggup di tinggalkan? Mestilah tidak sebab anak-anak. Jadi kesabaran adalah kunci sebuah penantian! Lebih kurang jam 6.15 pagi, kami semakin bimbang kerana masih belum ada tanda-tanda tiket akan di jual. Kami cuba bertanya adakah kami termasuk dalam senarai & bolehkah kami bergilir beratur memandangkan beg masih di hotel dan subuh pun semakin menghampiri subuh gajah. Jawapan hampa yang diperolehi, beratur saja di sana. Haishhh depa ni tak faham soalan ke, buat-buat tak faham? Ketika kami masih panas & masih mengkritik sesama kami (mestilah bahasa melayu kan) tiba-tiba pegawai tersebut memanggil (aku). Berlari aku ke office dia, dia tanya berapa orang aku jawap 4, dia tulis sesuatu di atas secebis kertas dengan nombor 4, go buy the ticket over there. Erkkk macam terkedu sekejap, Allahuakbar! Aku berlari ke seberang landasan membeli tiket. Cuma rs15 untuk 5 jam! Lonely Planet mengatakan rs150 untuk 1st class. Kami bayar rs15 untuk 2nd class. Selepas train semalam, tak pedulilah kelas apa, yang penting dapat tiket untuk meneruskn perjalanan. Lagipun sepuluh kali lebih murah, apa salahnya dan lagi, 1st class ke, 2nd class ke, sama saja tempat duduknya.

Sekarang, beg pula. 2 orang tinggal di dalam gerabak untuk secure tempat duduk. Ingat! Walaupun dah dapat tiket, tak semestinya dapat tempat duduk sebab tiket tiada nombor. Jadi, once you are allowed to be in the coach, don't ever leave, at least one of you need to be on the cart to ensure you've got your seat. Sebenarnya sesiapa boleh masuk, tak ada pegawai pun yang datang check tiket kerana toy train ini tak boleh access dari gerabak ke gerabak. Kalau dah masuk ke dalam gerabak, tidak ada pun yang datang memeriksa. Ada jugalah rasa ntahhapehapentah beratur dari pukul 4 pagi, tapi sistem apa pun tak ada. Namun, kami bersyukur perjalanan kami setakat ini dipermudahkan. Berbalik kepada beg, kami ada 40 minit saja lagi untuk mengambil beg di hotel sebelum train bergerak. 2 dari kami perlu kembali ke hotel segera. Aku mengambil keputusan menahan auto, deal untuk dia hantar ke hotel dan kembali ke stesyen semula. Cuma rs100. Aku sumbat saja segala barang yang masih di luar beg. Kena angkut beg 4 orang turun tangga, check out. Ngam-ngam saja kami berdua sampai di stesyen dengan bagasi 4 orang. Oh ya, dalam perjalanan ke stesyen semula, masa itu juga lah ada pokok tumbang tengah jalan, memang menguji kesabaran sungguh. Mujur orang ramai pantas dan tuntas mengalihkan pokok tersebut.

Jam 7.10 pagi keretapi pun mula bergerak. Rasa teruja bila keretapi berbunyi, toott toott!! Sungguh klasik! Macam naik Thomas, haha. Sepanjang perjalanan 5 jam, kami di sajikan perlbagai pemandangan marentasi gunung ganang, di beberapa stesyen pula kami dibenarkan turun untuk bergambar, minum teh, ke tandas kerana kepala keretapi perlu di isi air untuk menghasilkan stim kerana itu keretapi akan berhenti lama. Sepanjang jalan, banyak bunga-bunga liar tumbuh melata. Indah, memang indah ciptaan Allah. MasyaAllah. Di Conoor, gerabak ditambah dan kepala di tukar kepada enjin diesel biasa. Akhirnya jam 12.30 petang kami tiba di Ooty. Ooty merupakan kawasan tanah tinggi jadi suhunya sedikit nyaman (sikit jelah). Kalau ada banyak masa di sini, boleh ke kebun teh dan taman bunga Ooty yang katanya cantik. Melihat bunga di taman depan stesyen keretapi pun dah cukup geram. Ok, tinggalkan bunga, itu tak penting. Sekarang, perlu mencari tiket bas ke Mysore. Tapi aku rasa aku sambung nanti-nanti lah ye :) Aku kongsi sikit gambar-gambar sepanjang Toy Train ride. Jya!
 Train mula bergerak
 Bersempit-sempit haa dalam gerabak
 Hentian pertama, tengah-tengah gunung

Blogger Templates by Blog Forum