Redah & Terjah India : Ooty ke Mysore ~ Sebuah Perjalanan Mengujakan
Tuesday, June 02, 2015 by Fiza_Pja
Assalamualaikum
Sambungan dari entry Toy Train
Kalau nak booking tiket ke Ooty, jangan cari stesyen Ooty, sampai kesudah tak jumpa. Nama stesyen adalah Udagamandalam
Masih lagi hari yang sama. Khamis, 30 April 2015. Misi mencari tiket bas ke Mysore. Kebetulan pula hari itu adalah hari mogok seIndia kerana ketidakpuasan hati mereka pasal cukai, jadi salah satu daripada mogoknya adalah semua bas ekspres tidak beroperasi, yang tinggal hanya bas sangkut-sangkut yang maha penuh, itupun ada beberapa trip sahaja untuk hari itu. Dalam banyak-banyak 365 hari setahun, hari kami sampai ke sini jugalah yang terpilih untuk hari mogok kan! Kami memang sudah pasrah untuk naik saja bas sendat penuh bau itu nanti. Ntah kan dapat duduk ke tidak nanti untuk perjalanan 6-7jam. Bas seterusnya jam 3.30 petang, sementara menunggu kami simpan beg di stesyen bas (di India, carilah bilik Cloak Room untuk menyimpan bagasi) rs10 setiap beg, kemudian kami ke masjid untuk solat jamak zohor/asar sambil mengendurkan otot kaki dan badan & makan bekalan nasi yang sempat di masak semalam. Kemudian pekena chai secawan dua di warung tepi jalan sambil melepak barang 15-20 minit. Dalam perjalanan kembali ke stesyen bas ntah macam mana kami ternampak kaunter ’tourist information’ yang sebenarnya kaunter ejen pelancongan. Kami mencuba nasib bertanya bas ke Mysore. Ada! Jam 5 petang rs250, 5 jam perjalanan. Terus beli tiket. Sementelaah menunggu kami berjalan-jalan sekitar pekan Ooty, walaupun udara sedikit nyaman tapi matahari tetap berdenting. Anggur tanpa biji sekilogram cuma rs160 (RM9.60), nikmat dunia!
Makcik gerai buah malu-malu
Nampak dak masjid nun?
Sekitar pekan Ooty
Di mana sahaja mesti ada orang main kriket. Ini di hadapan masjid di selah-selah bangunan (bukan masjid dalam gambar di atas, masjid yang lain)
Jam 4.45 petang kami sudah tercongok di pejabat ejen berkenaan. Bas sedikit lewat mungkin kerana isu mogok hari ini. Jam 5.30 petang bas sampai. Selamatlah kami menaiki bas menuju Mysore. Melihatkan kami yang agak berbeza penumpang sebelah mula menemuduga aku. Banyak juga soalan-soalan yang di tanya. Antaranya Malaysia ada berapa negeri, macam mana sistem politik di Malaysia, ibu negara apa, gambar dalam wang kertas itu siapa dan macam-macam lagi. Ligat aku memikirkan jawapan. Nasib lah kalau salah, haha. Siap minta tengok duit RM. Kami beri not seringgit dan syiling 50 sen, 20 sen, 10 sen dan 5 sen. Di tanya lagi seringgit berapa rupee? Lepas tu dalam seringgit ada berapa sen. Haa berapa kawan-kawan? 100 sen ye. Perjalanan kali ini menuruni gunung, jalan pun bengkang bengkok dengan skill pemanduan pemandu yang super hebat memotong di selekoh-selekoh tajam. Ada yang sudah mula pusing kepala. Di satu selekoh, bas berhenti lama. Rupanya pemandu pergi bersembahyang di kuil, selesai sembahyang dia membakar colok pula dalam bas. Tak sampai 10 minit, budak perempuan di hadapan tempat duduk kami mula muntah. Aku hulurkan minyak angin kepada bapanya. Siapa sangka satu bas minta minyak angin aku. Sara yang memang senang mabuk sudah mula pening kepala. Aku hulur pula plastik, siapa sangka juga beberapa orang di belakang juga minta plastik, untuk muntah. 3 jam perjalanan menuruni gunung dirasakan amat seksa, dengan keadaan jalan yang sangat teruk, memang ramai yang mabuk. Nasib baik aku masih kebal. Kasihan Murni yang baru nak baik dari slipped disk. Alhamdulillah tidak apa yang tidak dikehendaki berlaku sepanjang perjalanan kami di India.
Pakcik sebelah Sara mengatakan selepas turun gunung bas akan melalui hutan simpan kekal sejauh 40km dan jika bernasib baik kami akan nampak binatang liar. Hurmm, gelaplah boleh nampak ke pakcik?? Tapi kami layan je pakcik tu. Tiba-tiba dalam gelap itu pakcik tadi menjerit elephants! Dan dengan tak semena-mena gajah tu berbunyi! Terus rasa macam berada dalam safari di Africa. Kemudian nampak lagi beberapa kawanan gajah di seberang sebelah sini pula. Terus mata aku melilau sepanjang jalan, ada juga nampak badak sumbu tepi jalan. Memang pengalaman yang tidak akan kami lupa. Baru saja petang tadi sementara menunggu bas kami sembang kosong berangan-angan mahu ke Africa untuk merasa pengalaman bersafari, terus dapat! Jam 10.30 malam kami diturunkan di stesyen bas Mysore. Kami cuba juga meninjau kaunter tiket malangnya tutup. Melihatkan kaunter tiket hanya dibuka esok pagi, kami menahan auto, minta di hantar ke mana-mana hotel berdekatan, rs100. Masa untuk meregangkan badan dan mendapatkan good sleep. Sememangnya hari yang sangat panjang, penuh debaran, penuh excitement dan sangat memenatkan.
Aku sambung lagi cerita India ni ye. Rasanya macam nak cerita pasal bunga teratai la pula lepas ni :)
Jya!