Redah & Terjah India ~ Nepal: Impian Yang Tertangguh



Assalamualaikum. 

Lama aku tak menulis. Apa khabar semua? Harap sihat-sihat belaka. Aku skip dulu cerita Myanmar, Xian – Chengdu, Riau & Bangkok-Udon Thani. Kali ini aku nak cerita kisah pengembaraan redah dan terjah aku bersama 3 rakan ke India. Sebelum itu, aku cerita dulu kenapa trip kali ini terjadi secara spontan dan tiba-tiba. Asal perjalanannya bermula dengan perancangan mendaki di Nepal, seterusnya perjalanan darat merentas Nepal masuk ke India ke Darjeeling sebelum pulang ke Malaysia melalui Kolkata.

Sabtu, 25 April 2015 flight AirAsia X berlepas seperti dijadualkan. Keterujaan kami semakin melonjak apabila kami dijangka mendarat kurang dari sejam. Lebih teruja memikirkan kami akan melihat gunung Everest sebentar lagi. Penantian untuk melihat sendiri Everest dari udara dirasakan terlalu lama, aku seperti dapat merasakan kapal terbang sedang berlegar-legar di ruang udara yang sama. Namun dalam ½ jam lagi sepatutnya kami mendarat, juruterbang mengumumkan tentang gempa bumi yang baru saja melanda Nepal. Benarlah tekaanku yang kapal terbang sedang berlegar-legar sejak setengah jam yg lepas. Kami berlegar-legar di ruang udara Kolkata hampir 2 jam sementara juruterbang mendapatkan keputusan akhir samada meneruskan penerbangan ke Kathmandu, mendarat di Kolkata atau berpatah balik ke Kuala Lumpur. Akhirnya juruterbang memutuskan untuk berpatah balik ke Kuala Lumpur dengan singgah mengisi minyak di Penang. Pendaratan di Penang dikira pendaratan kecemasan kerana landasan di lapangan terbang Penang sebenarnya bukan untuk kapal besar. Landasan lebih pendek, namun alhamdulillah selamat mendarat. Kami berhenti lebih kurang sejam setengah, namun kami tidak dibenarkan turun. Kami mengambil kesempatan menghubungi keluarga dan rakan terdekat mengatakan kami selamat. Berpuluh mesej diterima sepanjang kami di udara bertanyakan keadaan kami. Terima kasih kepada semua yang prihatin. Penumpang di 2 barisan di belakang aku, wanita Nepal mula menitiskan airmata, dari teresak-esak kepada tangisan yang tidak dapat dibendung. Aku cuma dapat mangagak mungkin sesuatu yang buruk terjadi kepada keluarganya di Nepal akibat gempa tersebut. 

Perjalanan diteruskan ke KLIA2. Selamat mendarat lebih kurang jam 11 malam, kami di beri penerangan yang kapal terbang akan tetap ke Kathmandu esok pagi jam 9.15 pagi sekiranya memdapat kebenaran mendarat dari airport Kathmandu. Selepas serba sedikit browse tentang keadaan semasa dan bincang tepi, kami sepakat membatalkan perjalanan ke Nepal. Urusan pengeluaran bagasi penumpang dijangka siap 3-4 jam lagi, jadi kami membuat keputusan check in di Capsule Hostel untuk 3 jam. Kepenatan yang tak dibendung, hari itu adalah hari yang sangat panjang untuk kami. Terima kasih kepada Air Asia memberi makan malam kepada semua penumpang. Pagi itu selepas mendapatkan beg, aku pulang dulu ke rumah, berfikir route perjalanan paling optima agar tiket pulang dari Kolkata dan visa India yang sudah tersedia tidak di bazirkan begitu sahaja. Jujur aku katakan sakitnya tuh di sini. InsyaAllah tahun depan aku akan ke Nepal semula. Semuanya atas rancanganNya. Bermacam pertimbangan yang di buat - samada terbang ke Kolkata dan terus ke Darjeeling & mungkin hiking di sana, atau ke Delhi seterusnya ke Ladakh atau Manali atau Leh atau Srinagar lagi, atau ke bahagian selatan kemudian naik ke atas. Kesemua barang-barang untuk hiking aku keluarkan, rasa macam nak menangis pun ada T_T . Selepas survey beberapa destinasi, kami mengambil keputusan membeli tiket ke Kochi. Redah dan terjah kaedahnya kali ini.

Maka Ahad malam 26 April 2015 bermulalah perkelanaan kami selama seminggu mengejar jalan pulang dari selatan India ke barat Bengal dalam masa hanya seminggu. Perjalanan darat hampir 3000km, tanpa rancangan, tanpa itinerary. Macam gila juga lah memikirkannya.

Tunggu cerita penuh trip redah dan terjah India yek. Jya!

Kinabalu - Kenangan Terindah 2014

Assalamualaikum..

Diam tak diam, pejam celik pejam celik, sudah pun masuk December. Sungguh pantas masa berlalu. Macam-macam berlaku tahun ini. Tahun ini kami menerima ahli keluarga baru, adik aku yang bongsu sudah sampai jodoh, dapatlah aku adik lelaki 'instant' yang baru. Iyee, adik bongsu aku, kakak dia yang sulung ni belum sampai seru, korang ada nak kenalkan calon keww?? haha. Anyway, macam aku pernah tulis dulu, itu rezeki masing-masing, rezeki aku Alhamdulillah diberi kesempatan melihat dunia luar, rezeki orang lain mungkin setiap hari di belanja rakan, atau mungkin di beri kemudahan dalam melaksanakan urusan harian. Rezeki datang dalam segala bentuk, tidak semestinya rezeki itu bererti makanan atau pun wang ringgit. Diberi kesihatan baik juga adalah rezeki. Ok, berbalik pada apa yang berlaku tahun ini, tahun ini kami sekeluarga kehilangan lagi. Aku kehilangan seorang datuk saudara (dia seperti ayah juga bagi aku). Semoga roh atuk busu Ahmad bin Abdul Jabbar ditempatkan dikalangan orang beriman. Alfatihah. 

Tahun ini juga, Alhamdulillah aku berkesempatan merealisasikan impian yang tertangguh bertahun-tahun dulu - menawan Gunung Kinabalu. Dua kali aku ke sana tahun ini. Kedua-duanya melalui trail Mersilau - lebih mencabar dan 2km lebih jauh dari trail Timpohon. Yang pertama misi gagal kerana kesilapan time management aku hanya sempat sampai ke kem Sayat-sayat, dan memang rezeki aku dapat naik kali kedua dan misi berjaya :) Syukur! Terima kasih kepada rakan se-office Mr Ho Wei Kong untuk ekspedisi aku yang pertama dan terima kasih juga kepada Fatt untuk ekspedisi kali kedua seterusnya merealisasikan impian pendaki tak tegar macam aku ni. 2014 kira tahun 'aktif' untuk aku, aktif dari segi aktiviti luar terutamanya hiking. Kalau biasanya aku cuma ke Broga atau Tabur, tahun ini kerana misi Kinabalu (2X pula tu) kenalah training menerjah tempat-tempat tinggi di Semenanjung Malaysia ni. Kawan aku kata aku training mendaki Kinabalu dengan mendaki Kinabalu, hehehe. Aku rasa cukuplah aku kongsikan gambar-gambar sepanjang ekspedisi tersebut, nak cerita secara terperinci pun rasanya kalau korang google berlambak-lambak cerita pasal mendaki Kinabalu. Tidak perlu untuk aku elaborate macam mana azab nya mendaki dalam hujan, yang penting segala keperitan hilang bila sampai ke puncak. Kesimpulannya, bukan mudah untuk mencapai sesuatu yang indah, segalanya bermula dengan satu langkah. Usahalah selagi terdaya dan jangan putus asa. Eh, kenapa aku macam bagi ceramah motivasi ni? teheee.. Jadi biarlah gambar yang bercerita. 

 
Sehari sebelum mendaki sempat melawat ladang lembu dan ke Tip of Borneo, Kg Simpang Meghayau, Kudat. Cantik di sini, suasana seperti di OZ
Puncak Kinabalu daripada Kibalu Park HQ, Timpohon
Antara pemandangan sepanjang perjalanan
Another milestone
Above the clouds
Pemandangan daripada Low's Peak - Puncak tertinggi Kinabalu
The famous puncak seringgit (RM1 peak)
Semasa turun boleh nampak pandaki via ferrata turun dari tebing batu. 

Cukuplah rasanya aku share gambar ni, kalau nak upload semua habislah quota broadband aku weh! Sekiranya ada apa-apa persoalan, boleh email atau tinggalkan komen, insyaAllah aku jawap kalau aku tau. Jya! 

India - Situasi Cemas Menuju Pahalgam

Assalamualaikum...
 
Dah dekat 10 bulan ek cerita India tergantung sampai Sonamarg. Maafkan hamba, masa sangatlah mencemburui, sedang sibuk dengan store opening di Johor Bahru, disamping penyakit M melanda :). Sekarang pula aku lebih senang update melalui instagram, sila-silalah tengok yek IG fiza_pja. Ok, sementara sedang datang mood R jom sambung cerita lepas.
 
Hari ke-3 di Kashmir, kami ke Pahalgam. Selepas subuh kami bersiap, masak nasi, panaskan lauk, minta air panas dari Rey untuk sarapan dan bekalan air panas. Tariq pelik juga kami bangun sangat awal pagi. Aku rasa mungkin juga faktor jetlag. Waktu India lewat 2.5jam, jadinya jam 5pagi di sana means di Malaysia sudah jam 7.30pagi. Timing untuk start kereta nak pergi kerja kot, so tiada masalah bangun pagi di India. Sungguh nikmat dapat sarapan nasi panas berlauk Melayu di pagi-pagi sejuk beku tu. Asap keluar dari mulut habag hang!
 
Pagi itu adalah sedikit nampak gunung ganang sekeliling Srinagar
 
 
Lebih kurang jam 8 pagi kami menuju ke destinasi. Kalau semalam driver kami adalah Mohamad, hari ini driver kami bernama Yusoff. Yusoff kelihatan lebih 'gangster' berbanding Mohamad yang nampak lebih sopan. hehehe... Anyway they are all good people. Perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 2jam. Lebih kurang sejam lebih perjalanan Yusoff berhenti untuk minum pagi dan toilet break di sebuah pekan kecil. Setengah jam berhenti, kami meneruskan perjalanan. Namun, sepanjang jalan kelihatan ramai orang berkumpul dan memberitahu sesuatu kepada setiap kenderaan yang lalu. Kami mula tertanya-tanya. Mereka juga nampak macam sedang marah. Gaya bahasa yang dilontarkan juga membuatkan hati tidak senang. Kami bertanya kepada Tariq, tiada apa-apa katanya. Namun, sampai di satu simpang semua kenderaan tidak dibenarkan meneruskan perjalanan. Lama juga Yusoff cuba berbudi bicara dengan mereka. Namun rundingan nampaknya gagal. Kami di paksa berpatah balik. Menurut Tariq, ada kemalangan di hadapan yang melibatkan kenderaan pelancong dan penduduk tempatan, kenderaan pelancong tersebut dikatakan melarikan diri! Jadi konon-kononnya mereka ni mencari kereta langgar lari berkenaan dan menjatuhkan hukum sendiri. hurmm.. agak menakutkan di situ. Konon-kononnya juga kami di iringi dengan seorang escort untuk melepasi road block di simpang masuk pekan tersebut supaya si pelanggar lari dapat di berkas. Kesemua kenderaan akan di tahan terutama sekali yang membawa orang asing. Nampak sangatlah kami ni asing kan. Tapi escort pun tak membantu. Sepatutnya dia perlu menjelaskan kami adalah kenderaan yang berpatah balik, bukan kenderaan yang dari arah Pahalgam, tapi rupanya si escort turun sebelum sampai tempat road block.

Seperti yang di jangka, kereta kami di tahan. Yusoff cuba berbudi bicara sekali lagi. Mengatakan kami adalah kenderaan yang berpatah balik. Namun mereka tidak percaya. Keadaan juga menjadi semakin tegang. Kereta kami sudah penuh di kerumuni. Kesemua mereka samada memegang kayu atau batu. Aku dah bayangkan kereta kami digoncang mereka beramai-ramai, cermin di pecahkan, seterusnya tidak sanggup mahu di fikir. I was preparing for the worst. Dalam hati tidak putus berdoa. Mulut tidak putus melafazkan Rabbi yasir wala tu'asir. Seriously, situasi itu memang menakutkan. Tariq yang rakyat tempatan juga hanya mendiamkan diri di tempat duduk belakang. Dia juga tidak berani. Hanya Yusoff yang berinteraksi dengan mereka. Sekarang fahamlah kami kenapa Yusoff yang di panggil Tariq untuk ke Pahalgam, bukan Mohamad. Selepas beberapa ketika pertelagahan Yusoff dan orang-orang kampung, dengan tidak semena-mena, dengan izin Allah mereka berundur. Begitu sahaja. Allahhuakbar!  Kami sangat-sangat bersyukur!
Semakin lama semakin ramai yang berkerumun sekeliling kerea kami.. huhuhu... Gambar ehsan Alifah kerana dia menggunakan kamera compact, tidak mudah di kesan mengambil gambar
 
Yusoff membawa kami melalui jalan lain pula. Sampai ke satu kawasan, kenderaan mula tidak bergerak. Lama. Yusoff mematikan kereta, berjalan kaki ke hadapan untuk meninjau keadaan. Kami mengambil kesempatan turun dari kereta dan meninjau sekeliling sambil bergambar, sehinggalah kedengaran Yusoff yang sudah berpatah balik melaung memanggil kami. Semua kenderaan di arahkan berpatah semula, kami tidak pasti kenapa. Kelihatan sebuah kenderaan polis (mungkin juga askar) yang mengarahkan semua berpatah balik.
 
 
Sementara menanti Yusoff meninjau apa yang berlaku, kami mengambil kesempatan turun kereta mengambil gambar. Jammu & Kashmir memang sesungguhnya sangat indah. Di mana-mana sahaja
 

Kami hampir putus asa, kami khabarkan kepada Tariq kalau tiada rezeki, tidak perlu di paksa, berhenti saja di mana-mana kawasan berpemandangan indah kami sudah cukup gembira. Namun Tariq bertekad (kemain bertekad ayat aku :P) akan membawa kami ke Pahalgam walau apa pun yang terjadi. Firasatnya salji akan turun. Kami masing-masing dah sengih macam kerang busuk bila dengar salji turun. Jakun! :) Jalan yang lain pula si Yusoff bawa kami, melalui kampung-kampung kecil, lalu di celah-celah, belakang-belakang rumah orang. Itulah hikmahnya, kalau tak kerana kejadian-kejadian di atas, kami tidak akan nampak kehidupan sebenar rakyat Kashmir. Dapat melihat aktiviti harian mereka.
Antara pekan yang kami lalu
 
Perjalanan yang sepatutnya 2 jam dan menjadi hampir 5 jam keseluruhan, Alhamdulillah akhirnya kami sampai juga di Pahalgam dan benar seperti firasat Tariq, ketibaan kami di Pahalgam di sambut dengan salji yang agak lebat! Tariq & Yusoff hanya sengih melihat kami terkinja-kinja nampak salji tebal & berlari-lari dalam salji. Mereka menunggu di kereta. Kami di beri masa dalam 45minit kerana di khuatiri kalau lama sangat salji yang lebat itu akan menyebabkan jalan terhalang kerana salji tebal atas jalan. Semestinya kami tidak mahu ada lagi rintangan selepas apa yang dah di lalui tadi. Pantas kami bergulingan. Hahaha, peghak gila aku rasa. Arghhh, ada aku kisah?? Aku turun ke tebing sungai. Memang sangat indah! MasyaAllah! SubhanAllah! Tiada manusia lain melainkan kami.
 
Salji lebat
Tepi sungai

Dalam perjalanan pulang, kami singgah minum petang di sebuah ladang epal. Tapi waktu itu winter, toksah nak harap ada gambar buah epal baru petiklah ye. Namun begitu biasalah dah nama pun jakun, kami bergulingan juga lah bawah pokok epal togel tu, haha.. dan di sana matahari sempat menimbulkan diri, membawa awan kelabu pergi dan memaparkan langit gah nan biru berlatarbelakangkan gunung ganang yang indah. Sungguh rasa macam tak mahu pulang! Kami masing-masing mencuba Kashmiri tea. Sedap, penuh dengan herba, tapi manissss yang amat. Siap tambah air kosong. Tariq belanja kami meggi sayur. Meggi di sini di masak tidak soupy macam kita, tapi cukup sekadar berkuah macam mee hailam tu. Jadi rasanya sangat pekat tapi sebab sejuk memang enak sangat di makan panas-panas walhal meggi je kot. Kami sampai di boat house hari sudah gelap. Malam itu emak Tariq masakkan kami masakan tradisional Kashmir. Aku pun tak tau namanya tapi memang superb. Kena dengan tekak kami. Bertambah-tambah nasi.
Bercanda di ladang epal. Tettt!! hahaha...
 
Malam itu, masing-masing tidur awal, hari yang sangat panjang untuk kami. Sama lah panjang dengan entry ini. Sambung lain kali yek. Jya!

Blogger Templates by Blog Forum