India - Kashmir

Assalamualaikum..

Dalam beberapa tempat yang aku pergi sepanjang trip India, pada aku Kashmir yang paling menambat hati walaupun waktu tu musim sejuk dengan suhu bawah paras beku dan cuaca kelabu sepanjang masa. Kashmir is totally like a different world of India. Walaupun pihak tentera kelihatan di mana-mana dengan kawalan keselamatan yang agak ketat tapi pada aku Kashmir paling aman damai dan orang tempatan yang mesra berbanding daerah lain yang kami pergi. Dan aku berazam akan kembali ke Kashmir suatu hari nanti dimusim yang lain pula.
Deretan boathouse disekeliling Dal Lake
Kami simpulkan kawasan tasik ini memang fotogenik, ambil lah gambar macam mana pun akan tetap nampak cantik
Peniaga menanti pelanggan penuh sabar di dalam Shikara. Mereka akan merapati shikara yang membawa pelancong (kami tidak terkecuali) untuk mempromosikan barang-barang dagangan mereka
 
Sepanjang 4 hari di Kashmir kami berkampung di Golden Hopes Group of Houseboat, Dal Lake, Srinagar. Lebih kurang RM30 semalam untuk seorang. Perkhidmatan airport pickup boleh di'request' dengan charge Rs600 (lebih kurang RM32). Tuan rumah adik beradik Tariq & Rey tersangatlah ramah dan mesra. Kami juga berkesempatan mengorder dinner untuk 2 malam dapatlah merasa home cooked tradisional Kashmirian dishes, dimasak sendiri oleh emak Tariq, sedap! Sepanjang kami di sana Tariq rajin bercerita mengenai pengalamannya mengembara di seluruh India (dia sendiri adalah traveller). Cerita mengenai India dari kacamata rakyat India sendiri. Paling menyentuh hati cerita Tariq semasa dia pertama kali keluar dari Kashmir, mencari kerja di Delhi. Dia terpaksa merempat di stesyen keretapi Delhi selama beberapa hari sebelum mendapat kerja dan kerja pertama yang dia dapat adalah pekerja hostel berserta makan minum dan tempat tidur (berupa sofa atau bawah kaunter reception) dengan gaji Rs500 sebulan (RM30!). Gaji itu lah yang dikirim kepada keluarga setiap bulan. Dengan kerja itulah dia belajar mengenai hostelling, mengenal ramai kawan-kawan merata dunia. Sedih mendengar cerita dia mengenangkan sebenarnya betapa bertuahnya kita sebagai rakyat Malaysia. Sambil bercerita kami layan juga bersama Tariq dan Rey rancangan anugerah Bollywood (tak ingat anugerah apa tapi ala-ala anugerah bintang popular), walaupun tak faham sakan juga gelak. Bergossip juga tentang artis-artis sana terutama si Alifah tu ;)
 
Hari kedua di Kashmir kami ke Sonamarg (sebutannya So-na-ma-reg dengan sebutan e as emak, bukan esok). By the way kami mengambil pakej dengan Tariq untuk ke Somararg & Pahalgam. Hampir sejam juga bertawar menawar akhirnya kami setuju dengan harga Rs2000 seorang untuk kedua-dua tempat termasuk 2jam shikara di hari terakhir mengelilingi perkampungan sekitar tasik Dal. Alternatively kalau bajet tak mengizinkan untuk mengambil private driver korang boleh dapatkan return J&K bus di Tourist Information Centre tetapi jadual bas akan di'rotate' di antara Sonamarg, Gulmarg dan Pahalgam. Sila semak jadual bas terlebih dahulu. Apa yang ada di Sonamarg? Sonamarg merupakan sebuah kampung yang dikelilingi pergunungan salji. Pemandangan memang cantik, setiap sudut adalah indah. Jika bukan musim sejuk Sonamarg adalah syurga peminat outdoor. Aku dengan Sara dah pasang cita-cita nak hiking dan berakit di sana. White water rafting cuma sekitar Rs300 (RM15!).
On the way to Sonamarg, kami singgah di sini. Katanya ada tersimpan rambut rasulullah, Wallahualam! Kami tidak masuk ke dalam pun
Kami juga minta berhenti di tengah jalan. Antara pemandangan di sepanjang silk road yang menghubungkan India, Pakistan dan China. Subhanallah!
 
Setibanya di Sonamarg kami di jemput Tariq ke rumah kawannya. Dihidangkan teh tradisi Kashmir yang maha manis itu, berserta roti ala2 tortila tapi keras kejung. Kami makan gulung dengan serunding daging yang kitorang bawa. Berperisa lah sikit kan, heeee.. Pelawa kepada mereka macam tak suka je, macam tak suka je. Kemudian instead of naik kuda (rasanya kami je kot yang tak naik) kami decide untuk jalan kaki sambil menikmati alam. Sepanjang jalan ramailah juga manusia yang tidak putus asa memujuk kami menaiki kuda (dan kanak-kanak pula memujuk mencuba sledge mereka) Gigih kami tahan godaan sepanjang jalan, adalah juga 5km berjalan sampai hujung kampung. Owh, rasanya aku belum pernah share gambar India di sini. Disebabkan lately ramai yang berkunjung ke Kashmir jadi aku rasa tak perlu aku cerita lebih detail. Lagipun cerita aku ni dah agak basi juga. Mahu kalu silalah email yek. Jadinya aku share gambar je lah ye.
Pemandangan belakang rumah tempat kami minum teh! Nganga mulut
Pemuda menghabiskan masa bermain kriket di tengah jalan. Menurut Tariq & Rey, Hollywood dan kriket merupakan 2 kegilaan paling utama di India
Rumah kampung Sonamarg
 
Ok lah, aku rasa cukup untuk entry kali ini. Nak share semua gambarnya terlalu banyak untuk di pilih. Jya! 

Blogger Templates by Blog Forum