India - Situasi Cemas Menuju Pahalgam

Assalamualaikum...
 
Dah dekat 10 bulan ek cerita India tergantung sampai Sonamarg. Maafkan hamba, masa sangatlah mencemburui, sedang sibuk dengan store opening di Johor Bahru, disamping penyakit M melanda :). Sekarang pula aku lebih senang update melalui instagram, sila-silalah tengok yek IG fiza_pja. Ok, sementara sedang datang mood R jom sambung cerita lepas.
 
Hari ke-3 di Kashmir, kami ke Pahalgam. Selepas subuh kami bersiap, masak nasi, panaskan lauk, minta air panas dari Rey untuk sarapan dan bekalan air panas. Tariq pelik juga kami bangun sangat awal pagi. Aku rasa mungkin juga faktor jetlag. Waktu India lewat 2.5jam, jadinya jam 5pagi di sana means di Malaysia sudah jam 7.30pagi. Timing untuk start kereta nak pergi kerja kot, so tiada masalah bangun pagi di India. Sungguh nikmat dapat sarapan nasi panas berlauk Melayu di pagi-pagi sejuk beku tu. Asap keluar dari mulut habag hang!
 
Pagi itu adalah sedikit nampak gunung ganang sekeliling Srinagar
 
 
Lebih kurang jam 8 pagi kami menuju ke destinasi. Kalau semalam driver kami adalah Mohamad, hari ini driver kami bernama Yusoff. Yusoff kelihatan lebih 'gangster' berbanding Mohamad yang nampak lebih sopan. hehehe... Anyway they are all good people. Perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 2jam. Lebih kurang sejam lebih perjalanan Yusoff berhenti untuk minum pagi dan toilet break di sebuah pekan kecil. Setengah jam berhenti, kami meneruskan perjalanan. Namun, sepanjang jalan kelihatan ramai orang berkumpul dan memberitahu sesuatu kepada setiap kenderaan yang lalu. Kami mula tertanya-tanya. Mereka juga nampak macam sedang marah. Gaya bahasa yang dilontarkan juga membuatkan hati tidak senang. Kami bertanya kepada Tariq, tiada apa-apa katanya. Namun, sampai di satu simpang semua kenderaan tidak dibenarkan meneruskan perjalanan. Lama juga Yusoff cuba berbudi bicara dengan mereka. Namun rundingan nampaknya gagal. Kami di paksa berpatah balik. Menurut Tariq, ada kemalangan di hadapan yang melibatkan kenderaan pelancong dan penduduk tempatan, kenderaan pelancong tersebut dikatakan melarikan diri! Jadi konon-kononnya mereka ni mencari kereta langgar lari berkenaan dan menjatuhkan hukum sendiri. hurmm.. agak menakutkan di situ. Konon-kononnya juga kami di iringi dengan seorang escort untuk melepasi road block di simpang masuk pekan tersebut supaya si pelanggar lari dapat di berkas. Kesemua kenderaan akan di tahan terutama sekali yang membawa orang asing. Nampak sangatlah kami ni asing kan. Tapi escort pun tak membantu. Sepatutnya dia perlu menjelaskan kami adalah kenderaan yang berpatah balik, bukan kenderaan yang dari arah Pahalgam, tapi rupanya si escort turun sebelum sampai tempat road block.

Seperti yang di jangka, kereta kami di tahan. Yusoff cuba berbudi bicara sekali lagi. Mengatakan kami adalah kenderaan yang berpatah balik. Namun mereka tidak percaya. Keadaan juga menjadi semakin tegang. Kereta kami sudah penuh di kerumuni. Kesemua mereka samada memegang kayu atau batu. Aku dah bayangkan kereta kami digoncang mereka beramai-ramai, cermin di pecahkan, seterusnya tidak sanggup mahu di fikir. I was preparing for the worst. Dalam hati tidak putus berdoa. Mulut tidak putus melafazkan Rabbi yasir wala tu'asir. Seriously, situasi itu memang menakutkan. Tariq yang rakyat tempatan juga hanya mendiamkan diri di tempat duduk belakang. Dia juga tidak berani. Hanya Yusoff yang berinteraksi dengan mereka. Sekarang fahamlah kami kenapa Yusoff yang di panggil Tariq untuk ke Pahalgam, bukan Mohamad. Selepas beberapa ketika pertelagahan Yusoff dan orang-orang kampung, dengan tidak semena-mena, dengan izin Allah mereka berundur. Begitu sahaja. Allahhuakbar!  Kami sangat-sangat bersyukur!
Semakin lama semakin ramai yang berkerumun sekeliling kerea kami.. huhuhu... Gambar ehsan Alifah kerana dia menggunakan kamera compact, tidak mudah di kesan mengambil gambar
 
Yusoff membawa kami melalui jalan lain pula. Sampai ke satu kawasan, kenderaan mula tidak bergerak. Lama. Yusoff mematikan kereta, berjalan kaki ke hadapan untuk meninjau keadaan. Kami mengambil kesempatan turun dari kereta dan meninjau sekeliling sambil bergambar, sehinggalah kedengaran Yusoff yang sudah berpatah balik melaung memanggil kami. Semua kenderaan di arahkan berpatah semula, kami tidak pasti kenapa. Kelihatan sebuah kenderaan polis (mungkin juga askar) yang mengarahkan semua berpatah balik.
 
 
Sementara menanti Yusoff meninjau apa yang berlaku, kami mengambil kesempatan turun kereta mengambil gambar. Jammu & Kashmir memang sesungguhnya sangat indah. Di mana-mana sahaja
 

Kami hampir putus asa, kami khabarkan kepada Tariq kalau tiada rezeki, tidak perlu di paksa, berhenti saja di mana-mana kawasan berpemandangan indah kami sudah cukup gembira. Namun Tariq bertekad (kemain bertekad ayat aku :P) akan membawa kami ke Pahalgam walau apa pun yang terjadi. Firasatnya salji akan turun. Kami masing-masing dah sengih macam kerang busuk bila dengar salji turun. Jakun! :) Jalan yang lain pula si Yusoff bawa kami, melalui kampung-kampung kecil, lalu di celah-celah, belakang-belakang rumah orang. Itulah hikmahnya, kalau tak kerana kejadian-kejadian di atas, kami tidak akan nampak kehidupan sebenar rakyat Kashmir. Dapat melihat aktiviti harian mereka.
Antara pekan yang kami lalu
 
Perjalanan yang sepatutnya 2 jam dan menjadi hampir 5 jam keseluruhan, Alhamdulillah akhirnya kami sampai juga di Pahalgam dan benar seperti firasat Tariq, ketibaan kami di Pahalgam di sambut dengan salji yang agak lebat! Tariq & Yusoff hanya sengih melihat kami terkinja-kinja nampak salji tebal & berlari-lari dalam salji. Mereka menunggu di kereta. Kami di beri masa dalam 45minit kerana di khuatiri kalau lama sangat salji yang lebat itu akan menyebabkan jalan terhalang kerana salji tebal atas jalan. Semestinya kami tidak mahu ada lagi rintangan selepas apa yang dah di lalui tadi. Pantas kami bergulingan. Hahaha, peghak gila aku rasa. Arghhh, ada aku kisah?? Aku turun ke tebing sungai. Memang sangat indah! MasyaAllah! SubhanAllah! Tiada manusia lain melainkan kami.
 
Salji lebat
Tepi sungai

Dalam perjalanan pulang, kami singgah minum petang di sebuah ladang epal. Tapi waktu itu winter, toksah nak harap ada gambar buah epal baru petiklah ye. Namun begitu biasalah dah nama pun jakun, kami bergulingan juga lah bawah pokok epal togel tu, haha.. dan di sana matahari sempat menimbulkan diri, membawa awan kelabu pergi dan memaparkan langit gah nan biru berlatarbelakangkan gunung ganang yang indah. Sungguh rasa macam tak mahu pulang! Kami masing-masing mencuba Kashmiri tea. Sedap, penuh dengan herba, tapi manissss yang amat. Siap tambah air kosong. Tariq belanja kami meggi sayur. Meggi di sini di masak tidak soupy macam kita, tapi cukup sekadar berkuah macam mee hailam tu. Jadi rasanya sangat pekat tapi sebab sejuk memang enak sangat di makan panas-panas walhal meggi je kot. Kami sampai di boat house hari sudah gelap. Malam itu emak Tariq masakkan kami masakan tradisional Kashmir. Aku pun tak tau namanya tapi memang superb. Kena dengan tekak kami. Bertambah-tambah nasi.
Bercanda di ladang epal. Tettt!! hahaha...
 
Malam itu, masing-masing tidur awal, hari yang sangat panjang untuk kami. Sama lah panjang dengan entry ini. Sambung lain kali yek. Jya!

5 comments:

    lebatnyer saljiii.... seronok ehh... me x pernah ke india lg..kalu nak p pon, nak ke taj mahal. jaipur, agra dan tempat2 sejuk mcm u all p.. yg kat selatan2 tu, i x mo ah..ha..ha.. takotla tngk org2 yang datang kt kereta u all tu...

     

    bestnyee saljiiii. nk g juga cenggini

     

    Memang best! Kitorang mmg guling2 ak hengatt.. ngeh ngeh ngeh

     

    Farikica, actually belah selatan is far better than the triangle. Percayalah!

     

    tetttt.... gambar last tu nmpk 'happy' sangat...hahhaa ..

     

Blogger Templates by Blog Forum